Friday, 30 September 2011

Kerinduan ini

Ke hadapan ayah dan ibu yang dicintai dunia akhirat,



Maaf dah lama tidak menghantar khabar melalui e-mail mahupun meng"update" blog. Hanya sempat bertemu secara maya dan juga berbual melalui telefon. Galway sangat cantik dan baik terhadap Uda.  Universiti yang lengkap dan turut mempunyai surau juga makanan halal. Pensyarah yang baik dan sangat berdedikasi. Kawan-kawan Irish juga sangat baik dan peramah. Alhamdulillah.  Walaupun kadang kala sedang berjalan pulang ke rumah bersama teman, pernah juga berdepan situasi dicemuh kerana mempunyai identiti sebagai seorang Islam. Pernah Islam dihina seorang puan kerana dikatakan merendahkan perempuan. Tapi uda sabar dan menjawab dengan berhemah. Alhamdulillah, terima kasih kerana ibu dan ayah telah memberi didikan itu. Juga sedikit sebanyak ilmu dan pengalaman yang dikutip di KMB. Sangat-sangat membantu. Biarpun begitu, uda tetap bangga menjadi seorang muslim. Tika berjalan di bandar, sangat teruja jika disapa muslim dan sangat gembira jika dapat memberi salam. Rasanya masya Allah! Macam rindu sangat dengan "keadaan" yang Islam. Mendengar azan terutamanya. Rindu dekat rumah kita, sebab setiap kali masuk waktu solat mesti dapat dengar surau dan masjid macam berlawan untuk azan. Rindu. Sangat rindu. Rindu nak solat jemaah kat masjid negeri. Tapi rindu solat di rumah dengan ibu ayah uda gantikan dengan solat jemaah bersama teman rumah, Amani dan Insyi.
Dengan Kak Jihan


COKLAT

Alhamdulillah di sini ramai kawan-kawan. Senior pun sangat membantu dan turut membuat satu macam circle untuk kami. Setiap minggu kami akan berjumpa, berkongsi perasaan dan juga pengetahuan tentang Islam. Nama glamornya COKLAT tapi kalau orang biasa cakap usrah. Ohh, tapi jangan risau ini bukan sebarang kumpulan parti haluan kiri atau apa. Insya allah, uda tak termasuk dalam kumpulan sebegitu. Minta dijauhkan. Kak Jihan dan Kak Izzah sangat baik dan diorang kira macam keluarga uda dah di sini. Jumaat malam akan ada sleepover di rumah Kak Jihan untuk sedikit pengisian.

pemandangan dari bilik. Subhanallah,cerah!
dah tak cerah. ini jalan menuju Dunaras Village

Kat rumah kami masak bersama-sama. Kalau hari cerah, kami keluar berjalan-jalan di sekitar kawasan Jalan Bishop O' Donnell. Tapi hari yang cerah itu payah sangat nak dapat. Kalau dapat melihat langit yang biru, matahari yang memancar rasa nak melompat-lompat sambil cakap Subhanallah! Rindu Malaysia. Bila rindu pada Teluk Chempedak, uda melawat Teuk Galway di Salthill. Cantik ibu. Dari Salthill akan nampak sambungan yang membentuk Teluk Galway, Claire. Di situ ada Cliff of Moher yang insya Allah akan dijejaki 8 Oktober nanti bersama kumpulan COKLAT. Duduk di Galway banyak meginsafi dan menghayati betapa hebatnya ciptaan Allah. Dan betapa rasa perlu sangat bersyukur dengan apa yang dimiliki di Malaysia. Makanan terutamanya. Tak ada nak rasa makan sate terus keluar malam. Macam selalu kita pergi Sate Zul apabila terasa "malas" nak masak. Semua perlu masak sendiri sebab Galway tidak sehebat Dublin yang mempunyai pelbagai jenis restoran makanan halal. Uda berjaya buat solok lada menggunakan ikan seabass bersama Amani dan Sofia. Biarpun tidak sehebat solok lada dan tanpa nasi kerabu namun lepaslah rindu kami pada Malaysia. Bihun sup, tom yam, kari ikan salmon dan daging masak kicap. Mujur di sini ada jual kicap Habhal. Bila dah tak sempat nak masak, kami makan je nasi putih dengan telur dan kicap yang pastinya.

solok lada galway.

Tapi ibu, uda rindu asam pedas ibu. Sebab kat sini tak ada daun kesum, tak boleh nak masak. Pasti kurang rasanya. Huhu.. Rindu nak pergi pasar dengan ibu ayah. Pasar Kuantan yang walaupun serabut tapi macam-macam ada. Tidak di Galway, pasarnya terlalu canggih, tiada tawar menawar macam kita selalu buat. Hanya ada kad 10% diskaun. Pilihannya juga tidak banyak tapi yang pastinya sangat segar berbanding di pasar raya seperti Tesco, Dunnes dan juga kedai The Fisherman. Oh, pasar ini terletak di Dock, Harbour Quay. Kalau ikan salmon ( dalam gambar ada 2 ekor yang panjang tuh warna hitam ) harganya 13euro seekor. Murahlah juga secara relatifnya.

Harbour


"pasar"

Corrib River
 Kalau ke bandar Galway juga tidak jauh jika dari universiti. Jadi kebiasaannya uda akan pergi ke bandar sekiranya tiada kelas pada sebelah petang. Jalan ke bandar Galway adalah melalui pintu terakhir universiti melalui Sungai Corrib. Sungai ini sebenarnya turut melalui NUIG.

Angin kuat. Sungai Corrib di belakang
Kalau nak lepas gian makan McDonalds, memandangkan di Galway tidak halal..Alternatif kami, Capital Kebab House ( macam ni kot namanya..hehe ). Sangat sedap dan hidangannya agak besar dan harganya lebih kurang macam set McDonald. Dan burgernya sangat besar sampai uda perlu menggunakan garfu dan pisau untuk memotongnya. Tidak mampu untuk makan seperti biasa kerana tidak muat ke dalam mulut.
Barang di sini secara relatifnya pun agak mahal berbanding Malaysia. Perlu tunggu Boxing Day untuk jualan hebat. Tidak seperti Sogo yang seperti sepanjang tahun melakukan jualan murah. Pilihan seluar dan baju pastinya payah untuk dicari. Perlu menunggu untuk musim sejuk tiba, pada masa itu pasti baju semua dah cukup kain. Hehe.. Seluar pula, sebagai rakyat Malaysia yang sejatinya pastinya susah mencari seluar yang sesuai dengan ketinggian. Setiap kali pergi M&S atau kedai pakaian pastinya mencari bahagian petite atau pun seluar dalam kategori SHORT. Yang lain harus mencari tukang jahit sebab mereka tidak mempunyai servis seperti di Parkson dan yang sewaktu dengannya. 

Ayah dan ibu,

Uda rasa sampai di sini dahulu menulis khabar berita. Sebab internet sudah mula buat hal kerana sudah pagi di sini. Uda rindu sangat ayah ibu, abang, angah , adik , tok ki , atuk , atuk mak dan semua orang. Tapi tak apa, kejauhan ini akan menyebabkan kerinduan. Kerinduan ini akan mengukuhkan ikatan. Semoga Allah sentiasa bersama kita dalam menuju ke arah jalan kebaikan. Ayah dan ibu jaga diri. Sampaikan salam rindu kepada semua orang. Datanglah Galway bila ada kelapangan. Doakan anakmu tabah dan bertambah kekuatan di bumi Ireland ini. Bumi asing. Tapi penuh pengajaran. 


Yang merindui dan mencintai ibu ayah selalu,

Khadijah Ariff
5.30 pagi,
Dunaras Village, Galway.


1 comments:

~M-i-M~ said...

salam kd...
alhamdulillah sihat dsana...
smoga brjya dsana..
amiin..